Apa Beza Chin Peng Dengan Jepun, Inggeris?

Written By Panglima Harimau on 17 September 2013 | 4:29 PM


Kematian Chin Peng ketika rakyat meraikan Hari Malaysia yang Ke-50 semalam cukup ironik. Lelaki itu mati dalam buangan selepas kerajaan bertegas dengan ketetapan tidak membenarkan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) itu menjejaki semula negara ini.

Bagi yang mentaati sejarah, mereka memahami kenapa Chin Peng yang lebih dikenali sebagai 'Butcher Of Malaya' atau 'Penyembelih Malaya' tidak mendapat keampunan daripada kerajaan.

Namun, ada pula politikus dan aktivis-aktivis jalanan pembangkang tanpa segan silu memahkotakan Chin Peng itu sebagai hero kemerdekaan. Lelaki itu diangkat menjadi patriot kononnya membuka jalan kepada kemerdekaan sehinggalah wujud Malaysia yang ada hari ini.

Maka, satu persatu pimpinan pembangkang bercakap soal keadilan dan kemanusiaan - modal untuk memaksa rakyat negara ini menerima fakta songsang bahawa Chin Peng itu adalah seorang patriot!

Lantas fakta-fakta sejarah dipersenda, dimanipulasi dan cuba diubah supaya rakyat terutamanya generasi muda tidak mahu mempercayai lelaki bernama Chin Peng ini mengetuai sebuah gerila yang membunuh dan menyiksa ribuan nyawa rakyat negara ini.

Penulis tertarik untuk mengulas pandangan yang mengatakan kalau kita boleh memaafkan penjajah Inggeris dan Jepun, kenapa kita tidak boleh berbuat perkara yang sama ke atas Chin Peng? Dihujahkan juga, lelaki itu berasal dari Sitiawan, Perak, kenapa dia tidak berhak untuk datang dan mati di tanahairnya sendiri?

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad dalam portal Malaysiakini semalam menarik perhatian bahawa kerajaan sepatutnya membenarkan Chin Peng dikebumikan di negara ini "sebagai tanda kemuliaan hati dan harga diri negara ini" sempena sambutan Hari Malaysia.

Dr. Dzulkefly dipetik portal itu sebagai berkata: ``Tindakan British dan Jepun juga melampau tetapi kita memaafkan mereka, kita melupakan dan berbaik dengan mereka semula. Chin Peng memerangi Jepun dan kemudian penjajah British. Beliau juga pernah diberi penghormatan oleh Queen."

Kenyataan itu mengundang pelbagai komen pembaca. Saya tidak pasti, tetapi portal yang sering dikaitkan sebagai propembangkang itu melepaskan banyak komen yang bersetuju dengan pandangan Dr. Dzulkefly.

Ada juga yang memberi komen ``kalau Tuhan boleh mengampuni, kenapa tidak kita? Adakah manusia lebih suci dari Tuhan?" lalu disokong pula dengan pandangan "zaman Rasullullah dahulu, baginda kehilangan sahabat yang tewas dalam memperjuangankan Islam, lebih tragis dari peperangan komunis. Adakah baginda ada berdendam?."

Dr. Dzulkefly nampaknya mengangkat isu ini dari perspektif yang salah, apatah lagi mengetepikan sama sekali faktor sejarah. Dr. Dzulkefli bercakap soal 'kemuliaan hati dan harga diri' tetapi tidak pula memikirkan hati dan perasaan ahli-ahli keluarga mereka yang terkorban akibat kekejaman komunis. Bukankah mereka yang lebih layak untuk memaafkan atau sebaliknya?

Dr. Dzulkefly mempersoalkan kenapa kita mahu membeza-bezakan Chin Peng dengan penjajah Jepun dan Inggeris? Sama seperti penjajah lain, Jepun dan Inggeris datang menyerang dan mahu menjajah Tanah Melayu. Tetapi Chin Peng ini mengaku anak jati Tanah Melayu (Sitiawan, Perak) tetapi beliau membunuh dan menyiksa dengan kejam penduduk Tanah Melayu.

Pendek kata, dia menyerang dan membunuh rakyat negaranya sendiri. Dia bukan sahaja layak dicop pengganas, malah seorang pengkhianat bukan sahaja kepada orang Melayu, tetapi juga Cina, India dan lain-lain. Jadi, layakkah pengkhianat yang bersifat durja sebegini diangkat sebagai patriot?

Penulis terbaca beberapa tulisan termasuk belangsungkawa oleh portal berita Malay Mail Online yang menggambarkan sikap lemah-lembut dan toleransi Chin Peng di penghujung usianya. Hatta tangannya yang lembut ketika bersalaman juga dijadikan bahan untuk mempotretkan betapa lelaki itu seorang yang budiman. Ada juga yang mengupas buku "My Side of History" nukilan Chin Peng yang menceritakan cerita syahdu betapa dia mahu "kembali dan mati dengan aman" di Malaysia.

Hakikatnya, orang seperti Chin Peng tidak wajar dihakimi dengan perwatakannya hari ini, apatah lagi menilai keindahan bahasa dalam buku tulisannya. Pengkhianat seperti ini selayaknya dihakimi atas darah dan nyawa yang dizalimi ketika usia mudanya. Kita tidak boleh memaksa rakyat melupakan apatah lagi memaafkan semua kekejaman yang dilakukannya.

Kalau pun Dr. Dzulkefly dan pemimpin parti sekutunya DAP dan PKR memandang jelik fakta-fakta sejarah, jagalah hati dan perasaan mangsa atau ahli keluarga mangsa kekejaman komunis. Banyak perkara mengenai kekejaman komunis tidak tercatat pun dalam sejarah, tetapi diceritakan sendiri oleh mangsa dan ahli keluarga mereka yang masih hidup.

Penulis biasa diceritakan bagaimana ada keluarga Melayu dan Cina dikuburkan hidup-hidup pengganas komunis. Ada orang yang disula dan digantungkan di pokok. Di sebuah kampung di Batu Pahat Johor, pernah penduduknya mati dalam keadaan menyayat hati apabila dihumbankan ke dalam minyak panas bawah kawah besar.

Pernah juga diceritakan di Kampung Simpang Kiri, Johor bagaimana pengganas komunis menjadikan surau sebagai tempat berhibur dengan meminum arak. Di situlah juga pengganas komunis tergamak memperkosa wanita-wanita Melayu di hadapan keluarga mereka sendiri.

Peristiwa seumpama juga disimpan terutamanya oleh generasi terdahulu di Bahau, Negeri Sembilan; Sekinchan, Selangor; dan di Sungai Manik, Perak. Tidak semua perkara ini pun tertulis dengan terperinci dalam buku sejarah, tetapi mereka-mereka ini tahu sikap sebenar Chin Peng. Jadi, Dr. Dzulkefly dan pencinta Chin Peng tidak layak untuk menghakimi apatah lagi hendak bercakap soal "kemuliaan hati dan kemaafan".

Kalau ditanya waris-waris askar Melayu yang hilang kaki, tangan dan hilang nyawa akibat dibom dan terkena jerangkap samar PKM pastinya tidak akan rela Chin Peng dimahkotakan sebagai pejuang kemerdekaan negara, malah mereka akan merestui jika lelaki itu ditembak sampai mati.

Kenyataan Dr. Dzulkefly disambut dengan komen yang mengangkat hujah bahawa Nabi Muhammad tidak berdendam walaupun ada sabahat baginda tewas dalam memperjuangkan Islam. Ada juga yang berhujah bahawa Tuhan itu maha pengampun, kenapa tidak kita?

Chin Peng bukan orang Islam, tetapi kita khususnya umat Islam perlu ingat bahawa Allah tidak pernah mengampunkan pengkhianat. Sejarah Islam menceritakan bagaimana pengkhianat seperti Abdullah bin Ubay tidak diampunkan sehingga akhir hayatnya. Dia tidak diberi keampunan, malah dilaknat dunia akhirat.

Dr. Dzulkefly dan rakan-rakannya dalam DAP tidak wajar membiarkan rakyat terutamanya generasi muda dimomokkan dengan fakta songsang yang kelihatan rasional, tetapi diutarakan dengan cara yang cukup dangkal. Kita tidak sepatutnya mendidik anak bangsa memahami sejarah supaya mereka ada jati diri dan mencintai negara.

Jangan kita tergamak mendidik mereka untuk menolak kebenaran sehingga mereka buta hati dengan menghargai kejahatan dan kebatilan.

15 comments:

Anonymous said...

perbanyakan cerita fliem tentang keganasan komunis ni supaya anak anak muda yang tak belajar sejarah dalam era kbsm ni kenal erti sejarah...

Anonymous said...

Bukti Abdullah Ubay tidak diampunkan, malah dilaknat?

Anonymous said...

http://no2azeezrahim.blogspot.com/2013/08/berikut-adalah-artikel-yang-diambil.html

Anonymous said...

Fakta sejarah ada pelpagai versi. Versi yang digunapakai di Malaysia adalah versi yang ditulis oleh kerajaan. Dan versi yang bercanggah ditolak drp disampaikan kepada rakyat Malaysia. Kita sebagai rakyat yang cerdik harus mengamati kesemua versi2 tersebut supaya perspektif kita diimbangi baik dan bukannya berat sebelah. Hanya Allah sahaja yang maha mengetahui.

Anonymous said...

aku lawak la bila ada puak selalu memuji diri cerdik manakala satu pihak lagi jelik... bila rasa diri betul semua cerdik.. pas 2 boleh pulak Allahyarhamkn pada Chin Peng. Walaupon ada setuju Allah diguna dan dipermainkn mana2 pihak, jangan suka2 letak hak orang Islam pada orang kafir. Politik jelik pembangkang yang cuba mengaut undi Cina dengan memuji n memuja orang mereka bagaikan menjual maruah agama sendiri. kemudian kata orang buta hati bodoh sejarah.

Anonymous said...

Pas hanya bercakap untuk meraih undi orang cina. Dulu aku hormati pas tapi sekarang tidak lagi. Kalau terlalu bencikan umno sekalipun , pejuang negara yang terkorban dan cacat jgn di khianati. Politikus sial x pernah rasa perit berperang, berkorban , terkorban dan hilang rakan baik memang boleh cakap apa suka.

Anonymous said...

kalau betul nak pertahankan tanahair kenapa lepas merdeka pun masih memberontak? bukankah itu hanya hendakkan kuasa... bayangkan kalau komunis berjaya dan memerintah tanah melayu sampai hari ini... bagaimana kita?

Anonymous said...

Org2 tua dulu bercerita pada aku, kebanyakan kes2 kematian di kampung2 dibuat oleh special branch2 british, dan kemudian menuduh komunis.

Hasilnya, askar2 yang terdiri dari org malaysia, berbunuh dengan komunis yg juga orang malaysia sendiri. british kat atas, tepuk tangan gembira.

Kes ni sama jadi di indonesia, zaman jeneral2 PKI.

Anonymous said...

begitu juga dengan Abu Lahab tidak diampunkan bahkan dilaknat 'celakalah Abu Lahab'...

Anonymous said...

kalau dengar cerita2 orang2 tua dulu sambil menitis air mata mereka...bagai mana keluarga rakan2 dan jiran mati di bunuh di siksa oleh komunis....!! nie manusia zaman sekarang cari dari internet lapas tu nak agong2 kan komunis nie ...laknat betul la korang!!!!

Anonymous said...

Arwah ayah aku x pernah pun cakap pasal special branch british bunuh kampung? orang tua mana yang cakap ni...mungkin masa zaman tu dok main mahjung kot? Arwah ayah aku keje Malay reserve masa tu bawa bren light machine gun, tak pernah cerita pasal pun sokong komunis dan ideologi komunis pun, cuma cerita brutality ngan torture cases yng dibuat oleh komunis ade laa... jangan nak mengarut

Anonymous said...

mungkin mereka tidak pernah mendengar kisah komunis yg menyasarkan ketua kampung dan imam2 untuk dibunuh bagi merialisasikan negara komunis yg menentang agama islam..kita pon boleh lihat bagaimana penduduk islam di china dilanyak sehingga kini..

Anonymous said...

kalau x silap saya Abdullah Ubay ni yg fitnah Aisyah R.A .... Aisyah ucapkan ... 'Semoga Allah melidungiku terhadap apa yg kamu ceritakan' ....

Anonymous said...

ok, so kita diajar supaya berdendam ? hmmmm, so kita juga diajar supaya melihat sejarah dulu ? hmmmmm, inikah pemikiran yang perlu kita semai pada generasi muda supaya berdendam kesumat dan jangan pandang ke depan sebab takut seolah2 mengajar kita jadi penakut dan sentiasa berprasangka buruk(phobia) ? maaf, saya bukan ahli politik.

Anonymous said...

Memang layak pon...

Post a Comment

Popular Posts