DAP Mengidam Kerusi Ketua Pembangkang Perak, Relakah PAS Dikhianati Lagi?

Written By Panglima Harimau on 04 September 2013 | 5:51 PM



SIDANG DUN Perak baru sahaja berlalu. Walaupun kali ini tidaklah 'sehangat' seperti sebelum-sebelumnya, banyak isu yang dibangkitkan terutamanya oleh kem penyokong pembangkang.

Seperti dijangka, isu undi popular, petisyen pilihan raya, jenayah, dakwaan salah guna kuasa dan kelulusan tanah berlegar-legar di sepanjang lima hari persidangan yang buat pertama kali boleh diikuti secara langsung di portal berita peraknews.com.

Sidang DUN kali ini juga menyerlahkan kelibat wakil-wakil rakyat baru terutamanya dari Pakatan Rakyat (PR) yang nampaknya lebih 'garang' berbanding muka baru daripada BN.

'Taiko-taiko' serta muka-muka baru DAP - parti paling banyak kerusi di kem pembangkang - berlumba-lumba menjadi yang paling jaguh. Mereka kelihatan cukup aktif menyertai perbahasan.

Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan) dan Nga Kor Ming (DAP-Kepayang) ternyata menenggelamkan kelibat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Pas- Changkat Jering).

Ketika Koo Ham, Kor Ming dan geng-gengnya ghairah mengupas isu-isu panas termasuk dalam soal tanah, jenayah dan dakwaan salah guna kuasa, Nizar sekadar dibiarkan memainkan isu-isu lapuk dan sehingga satu ketika, amat membosankan.

Adakah ini satu kebetulan atau memang satu perancangan DAP yang tidak diketahui oleh Nizar dan pemimpin Pas yang lain?

Ada yang terkejut kerana Nizar sekadar diberi ruang semata-mata untuk mengungkit cerita 'rampasan kuasa 2009' yang diketahui sudah menjadi cerita basi bagi rakyat Perak. Perbahasan Nizar juga banyak berkisar kepada topik undi popular dan petisyen pilihan raya - isu yang tidak cukup kuat lantaran BN juga berdepan penolakan demi penolakan oleh mahkamah dalam semua petisyen yang difailkan.

Malah, kerapuhan isu yang dibawa Nizar mendedahkannya kepada kritikan pedas daripada wakil-wakil kerajaan terutamanya mengenai pola pengundi orang Melayu yang tampak memihak kepada BN. Cerita-cerita pembohongan Nizar termasuk dalam isu ancak dan pembinaan hab besi di Lumut pada sidang DUN yang lepas juga diungkit-ungkit.

Dalam banyak keadaan ketika Nizar diserang wakil rakyat BN, gerombolan pimpinan DAP lebih selesa untuk membisu dan tidak banyak 'memberi perlindungan' sebaiknya kepada Nizar selaku Ketua Pembangkang.

Perkembangan ini membawa kita kepada cakap-cakap politik yang makin hangat diperkatakan di luar sidang DUN iaitu mengenai hasrat besar DAP untuk kembali mengisi kerusi Ketua Pembangkang. Benarkah ada usaha untuk menyingkirkan Nizar dan mengangkat Koo Ham sebagai Ketua Pembangkang?.

Untuk rekod, Koo Ham pernah menjadi Ketua Pembangkang selama empat tahun sejak 2004 sebelum kerusi itu diserahkan kepada Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak selepas pembangkang bergabung dan menang di Perak pada PRU-12.

Jika berdasarkan kedudukan kerusi selepas PRU-13, DAP yang mempunyai 18 kerusi berbanding masing-masing lima oleh Pas dan PKR, berhak dipilih mengisi jawatan Ketua Pembangkang. Sebagai Pengerusi DAP negeri, Koo Ham layak diangkat sekali lagi sebagai Ketua Pembangkang.

DAP pastinya tidak berdepan masalah besar untuk mendapatkan sokongan wakil rakyat Cina daripada PKR. Daripada lima kerusi PKR di Perak, empat daripadanya diisi wakil rakyat Cina kecuali di DUN Kuala Kurau.

Persoalannya, sanggupkah Pas untuk melepaskan kerusi tersebut kepada DAP? Selepas permintaan untuk menambah lebih banyak kerusi pada PRU-13 lalu ditolak mentah-mentah sekutunya daripada DAP dan PKR, adakah Pas rela mengalah lagi kali ini?

Jika gabungan yang membawa kepada momentum luar biasa PR di Perak pada 2008 mahu dijadikan isu pokok, Pas tentunya mahu DAP dan PKR terus menghormati kesepakatan yang sedia terjalin. Lagi pula, apa kurangnya Pas?

Kalau pun Nizar mempunyai beban sejarah lantaran pelbagai kontroversi yang menghakis kredibilitinya sebagai Ketua Pembangkang, jawatan itu selayaknya diserahkan kepada bosnya iaitu ADUN Titi Serong, Abu Bakar Hussain selaku Pesuruhjaya Pas Perak.

Pengalaman hampir 20 tahun dalam politik Perak, Abu Bakar mempunyai merit yang cukup untuk diberi mandat menggalas tanggungjawab itu.

Malah, walaupun pertama kali muncul di sidang DUN, Abu Bakar yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Perak tidak menampakkan rasa gugup, malah menjadi antara wakil rakyat yang aktif dalam perbahasan termasuk dalam isu peruntukan ADUN, penyelenggaraan jalan kampung sehinggalah menyentuh isu kebajikan sekolah-sekolah agama serta konflik semasa di Mesir.

Abu Bakar berjaya menampakkan kematangannya dalam mengupas isu dan permasalahan rakyat - perwatakan yang agak jauh berbeza berbanding Nizar yang lebih cenderung mencetuskan provokasi.

Persoalannya, adakah DAP mahu melihat Abu Bakar sebagai satu kelebihan kepada kem pembangkang, atau satu ancaman jika benar-benar berniat untuk mengisi jawatan Ketua Pembangkang.

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts