Maki Hamun Pengawal Keselamatan, Isteri Mat Yo Mohon Maaf

Written By Panglima Harimau on 27 September 2013 | 3:48 PM



Beberapa hari lepas kita dikejutkan dengan tersebarnya video seorang perempuan yang dikatakan isteri kepada pemain bola sepak negara, Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Yo maki hamun pengawal keselamatan sehingga membangkitkan kemarahan seluruh rakyat Malaysia.

Dan hari ni isteri kepada Mat Yo iaitu Siti Aisya Adam membuat permohonan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia ekoran kejadian tersebut. Dibawah adalah kenyataan maaf beliau.

KUALA LUMPUR - Ekoran tersebarnya video kontroversi membabitkan dirinya, suami dan seorang pengawal keselamatan yang menimbulkan kemarahan awam, isteri Mat Yo akhirnya tampil memohon maaf.

"Dengan rasa rendah diri, saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas tindakan saya sehingga menimbulkan kemarahan semua pihak.

“Saya percaya, kebenaran kes ini akan terbongkar. Tolong jangan hukum saya tanpa mengetahui apa yang berlaku,” kata Siti Aisya Adam, 24, isteri kepada pemain bola sepak negara, Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Yo, ketika mengulas mengenai video dia bergaduh dengan pengawal keselamatan kini tersebar luas.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, dia tidak tahu apa motif sebenar individu yang menyiarkan video berkenaan, sedangkan kejadian perselisihan faham berlaku pada 12 September lalu, namun video berkenaan baru tersebar sejak Selasa lalu.

“Saya tidak mengetahui mengenai penyebaran video ini sehingga dimaklumkan keluarga yang turut terkejut melihat insiden berkenaan. Apa motif individu itu menyiarkan video berkenaan. Adakah disebabkan suami saya pemain bola sepak negara?

Dua individu miliki video

“Ramai menyangka saya yang menyebarkan video berkenaan, namun di sini saya tegaskan, penyebaran video itu tiada kaitan langsung dengan saya. Apa yang saya boleh cakap, hanya dua orang yang memiliki video berkenaan, namun saya enggan dedahkan sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Siti Aisya yang tertekan susulan kejadian itu berkata, selepas tersebarnya video berkenaan, ramai yang marah dan mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya, namun mereka tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku.

“Malah, masyarakat menuduh tindakan saya memalukan suami. Saya bukan seorang biadap, kejadian ini berlaku apabila individu lain mencabar saya sehingga menimbulkan kemarahan.

“Jujur saya katakan, saya hormat orang tua kerana kehilangan bapa sejak berusia 12 tahun. Tatkala masyarakat mencemuh saya selepas melihat video berkenaan, saya tidak mampu mempertahankan diri sebaliknya hanya mampu berdoa supaya kebenaran sebenar akan timbul,” katanya sambil menangis.

Insiden kekecohan membabitkan isteri kepada pemain bola sepak negara dengan pengawal keselamatan di Subang Skypark, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mula tersebar secara meluas sejak Selasa lalu.

Rakaman selama 54 saat itu turut menampakkan wajah Nor Shahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo, yang menyaksikan perang mulut antara isterinya dengan pengawal keselamatan terbabit, Azman Md Nayan, 49.

Tak terlintas saman

Siti Aisya turut meminta masyarakat tidak mencemuh suaminya disebabkan insiden membabitkan dirinya, sebaliknya Nor Shahrul tiada kena mengena dalam kes terbabit.

Ditanya sama ada beliau bertindak menyaman pengawal keselamatan itu, Siti Aisya menjelaskan tidak pernah terlintas untuk bertindak sejauh itu, sebaliknya peguam dilantik selepas video berkenaan mula tersebar. - SH

4 comments:

Anonymous said...

mcm anuar ibrahim.. cerita kebiadapan dan keangkuhan da ketepi.. sedih,tertekan,org lain ainaya sebarkan video,tiada niat nk saman,lantik peguam bila video tersebar je..minta maaf
sedangkan kejadian tu da beberapa hari berlalu.. takde pula nyesal, takde pula sedih, bile da kecoh n org ramai marah nk ambik tindakan saman pon belum tentu menang sebab video ada n mungkin video sepenuhnye pula akn keluar.. baru la tau n faham.. cantik,duit.. takde nilai apa2 klu tak digunakan utk kebaikan.. menyusahkan lg ade... igt anuar ibrahim.. igt mat yo dan bininya.. igt mat yo dan bininya.. igt anuar ibrahim...

Anonymous said...

usah tabur fitnah lagi........... carilah kebenaran dan perdamaian............
setiap manusia tak sunyi dari kealpaan dan kesilapan ......
yang penting kita insaf dan bertaubat kpd Illahi.....
jangan bersikap bongkak dan kejam seperti manusia yang berjiwa syaitan!

Anonymous said...

Walau mcm mn keadaan marah skali pun, patah perkataan & ejekan yg dihamburkan tidak mencerminkan keperibadian diri sbgi seorg wanita apatah lg anda seorg yg bergelar ibu... renungkanlah....

Anonymous said...

Belajar dari kesilapan. kepada semua isan di luar sana, kalau anda telah melakukan kesilapan, dan perkara tersebut tersiar, muhasabah diri dulu sebelum menbuat sebarang penafian. Lebih teruk, menuduh orang lain yang salah. Anda mesti ingat, dengan pelbagai teknologi dan alat media, kebenaran mudah dibuktikan. Kesimpulan nya, jadi lah seorang insan yang jujur. Sesungguhnya kita sebagai insan sudah pasti akan buat kesilapan. Kalau mengaku dan memohon maaf akan lebih dihormati dan diterima oleh masyarakat.

Post a Comment

Popular Posts