Tiada Lagi Kuda Tunggangan Jika PAS Berundur Dari Pakatan Rakyat

Written By Panglima Harimau on 25 September 2013 | 10:54 PM


UMNO untung jika Pas 'berundur' dari PR. Itu respon Nik Aziz seperti dipetik Malaysiakini berhubung resolusi Perhimpunan Ulama Se-Malaysia anjuran Dewan Ulama Pas di Kedah baru-baru ini.

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang pula berkata, Pas tidak akan keluar daripada PR yang dianggapnya sudah semakin kuat dan kukuh.

Dalam laman FBnya, Nik Aziz kata keputusan Pas bekerjasama dengan PKR dan parti dalam PR telah membawa parti itu ke depan dalam pentas politik negara. Nik Aziz juga kata: "Melalui kerjasama dengan PR, Pas juga berjaya mempersembahkan Islam dengan baik kepada orang bukan muslim berbanding UMNO."

Wah, betulkah begitu?

Berjayakah Pas persembahkan Islam dengan baik apabila terpaksa mengorbankan dasarnya membina 'Negara Islam' kepada 'Negara Kebajikan' semata-mata untuk memuaskan hati PR terutamanya DAP yang tidak pernah senang dengan dasar negara Islam?

Berjayakah Pas persembahkan Islam dengan baik apabila akhirnya mereka sekadar terkedu apabila PR sepakat membela malah berhimpun memperjuangkan golongan Lesbian, Gay, Biseksual, Transeksual (LGBT)?

Berjayakan Pas persembahkan Islam dengan baik apabila sekadar menutup mata dan telinga apabila bos PR, Anwar Ibrahim membuat kenyataan menyokong mempertahankan keselamatan negara dajal yakni Israel?

Berjayakan Pas persembahkan Islam dengan baik apabila pimpinannya sendiri menyokong desakan DAP supaya kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam?

Berjayakan Pas persembahkan Islam apabila hanya tunduk membisu apabila pemimpin DAP seperti Ngeh Koo Ham menghina Islam dengan menyamakan al Quran dengan kitab Bible?

Nik Aziz kata kerjasama dengan PR "membawa parti itu ke depan dalam pentas politik negara." Tetapi realitinya, tahaluf siyasi dengan PR sekadar menyaksikan Pas jadi parti dalam PR yang menang kerusi paling sedikit pada PRU-13, malah parti itu kehilangan kuasa di Kedah.

Apabila Pas memiliki 15 kerusi berbanding hanya 14 kerusi oleh PKR di Selangor, Pas sekali lagi mengalah apabila merelakan kerusi Menteri Besar diserahkan kepada PKR walaupun mereka paling berhak memilikinya.

Tidak cukup dengan itu, Lim Guan Eng secara terbuka menyalahkan Pas atas kehilangan negeri Kedah apabila menuduh ia berpunca daripada persengketaan para pimpinan Pas sendiri.

Paling menyedihkan, para penyokong Pas adalah yang paling ramai dan paling di hadapan dalam menjayakan kempen-kempen, perhimpunan atau demonstrasi jalanan manakala ramai penyokong dan pemimpin DAP dilihat lebih selesa sebagai pemerhati.

Jadi kalau Nik Aziz kata berundur dari PR akan 'merugikan' Pas, apa agaknya 'untung' Pas berdampingan dengan PR selama ini?

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts