Tribunal Rakyat Atau Tribunal Syok Sendiri?

Written By Panglima Harimau on 30 September 2013 | 12:07 PM


Keluaran terbaru Akhbar Harakah dan Suara Keadilan banyak bercakap mengenai 'Tribunal Rakyat' yang diadakan baru-baru ini. Hampir separuh muka surat terbitan kedua-dua akhbar ini mengulas mengenai tribunal anjuran Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digambarkan sebagai penipu, rosak dan korup, polis pula dipotretkan bersikap memihak dan zalim, mahkamah dicop sebagai perkakas kerajaan, dakwaan berlaku pembunuhan pekerja politik dan macam-macam lagi - pendek kata semuanya tidak kena, tidak adil - seolah-olah PRU13 adalah pilihan raya paling buruk dalam sejarah politik dunia.

Walaupun ahli-ahli panel tribunal itu dikenali sebagai individu yang rapat dengan perjuangan PR, tetapi saya mahu percaya bahawa rakyat teruja untuk melihat sejauh mana ia mengupas isu-isu pilihan raya secara adil.

Turut dijemput sebagai panel ialah tokoh dari negara Kemboja, Yas Pal Gai dan bekas Timbalan Pengerusi SPR Indonesia, Ramlan Subakti yang seolah-olah dipanggil untuk 'mengajar' Malaysia erti demokrasi. Saya tidak mahu mengulas tahap pendemokrasian politik di dua negara berkenaan, anda boleh 'google' dan nilai sendiri.

Suara Keadilan memetik kenyataan tiga Orang Asli yang memberi 'keterangan' dalam tribunal berhubung isu janji-janji pilihan raya - lantas kenyataan tiga orang ini diangkat sebagai bukti bahawa kerajaan pemerintah menindas dan menipu Orang Asli dalam pilihan raya.

Lebih mengejutkan, kes jenayah melibatkan seorang lelaki yang mati beberapa hari sebelum pilihan raya turut diheret ke dalam tribunal ini - menggambarkan PRU-13 dibayangi unsur-unsur jenayah politik. Maka, ibu mangsa 'dipanggil memberi keterangan'. Secara tiba-tiba tribunal itu berubah menjadi kamar mahkamah.

Akhbar berkenaan juga melaporkan bahawa Bersih akan memberi khidmat guaman percuma kepada mana-mana 'saksi' yang tampil pada tribunal berkenaan jika mereka menerima apa-apa ancaman. Hairan juga, kalau dikatakan mahkamah negara ini sudah korup, tidak adil dan memihak, apa gunanya hendak lantik peguam untuk saksi-saksi ini?

Kes dakwat kekal yang berkali-kali dijelaskan sebelum ini juga diungkit semula. Dihujahkan bahawa jika dakwat itu betul-betul kekal, PR sudah memerintah Malaysia saat ini.

Penganjur sepatutnya turut menjemput taiko-taiko PR seperti YB Anwar Ibrahim Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh, DS Hadi Awang dan DS Nik Aziz Nik Mat sehinggalah pemimpim-pemimpin muda PR yang lain menang bergaya dengan majoriti yang besar di sebalik pelbagai dakwaan buruk yang dilemparkan kepada pihak pengurusan pilhan raya.

Jika PRU-13 adalah pilihan raya paling jelik dalam sejarah, pemimpin PR yang mendapat puluhan ribu majoriti patut dipanggil dan menjelaskan kenapa mereka mampu meraih undi begitu banyak sehingga ada antara mereka yang mampu mendabik dadah menumbangkan tokoh-tokoh besar dalam kerajaan.

Sepatutnya panel dari Indonesia dan Kemboja patut diminta memberi pandangan mengenai kemampuan PR mempertahankan Pulau Pinang dan Selangor - dua negeri 'lubuk emas' yang sangat didambakan oleh kerajaan pemerintah - selain kemampuan PR mempertahankan pemerintahan selama 23 tahun di Kelantan. Adakah SPR di negeri terbabit juga berat sebelah, rosak dan korup?

Saya juga berasa aneh, dalam banyak perkara yang diulas dan dikupas dalam tribunal itu, tiada satu pun ahli panel yang bercakap fasal dakwaan DS Anwar mengenai 40,000 warga Bangladesh yang kononnya dibawa masuk untuk mengundi calon kerajaan pada PRU lalu. Setidak-tidaknya, rakyat mahu tahu di pusat pengundian mana 40,000 orang itu mengundi?

Juga, kenapa agaknya ahli panel terbabit tidak mahu mengulas mengenai dakwaan berlaku 'blackout' di pusat pengundian seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini? Kenapa YB2 PR yang bertegang urat leher bercakap mengenai dakwaan itu tidak dipanggil untuk turut memberi keterangan?

Kalau beginilah caranya tribunal ini dijalankan, pihak penganjur jangan marah jika ada rakyat yang tampil mengatakan bahawa ia bukan Tribunal Rakyat, tetapi Tribunal Syok Sendiri.

1 comments:

Vincent Tay said...

Itu tribunal Kangaroo lah...sapa syok belum pasti!

Post a Comment

Popular Posts