Apabila @malaysiakini Lancar 'Perang' Ke Atas @Zahid_Hamidi

Written By Panglima Harimau on 09 October 2013 | 1:07 PM

Gambar ini adalah laman utama portal Malaysiakini pada semalam, 7 Oktober 2013. Nama dan gambar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertaburan di segenap ruang portal tersebut – dari tajuk dan kandungan berita, komen sehinggalah pada ruang pendapat – banyaknya berkisar mengenai Menteri Dalam Negeri itu.

Sepintas lalu, kita akan tertanya-tanya bila agaknya kali terakhir sebuah portal berita memberi “liputan” sebegitu luas kepada seorang politikus sehingga semua berita mengenai Zahid dijadikan tajuk utama dan ada pula diangkat sebagai liputan ‘Eksklusif’ – menenggelamkan isu nasional lain seperti susulan laporan Ketua Audit Negara.

Namun, “liputan meluas” itu pasti tidak menggembirakan Zahid. Semuanya memberi konotasi yang negatif terhadap kepimpinannya sebagai Pak Menteri. Misalnya berita bertajuk ‘Kita dapat bukti kita tembak dulu’ menggambarkan KDN yang dipimpin Zahid cenderung dengan polisi membenarkan penjenayah ditembak dahulu tanpa siasatan lanjut.

Berita itu juga memetik kenyataan Zahid mengenai insiden polis menembak lima anggota kumpulan kongsi gelap India di Pulau Pinang baru-baru ini. Berita itu boleh sahaja menimbulkan kemarahan pembaca terutamanya yang berketurunan India.

Berita “Pesan Zahid pada kawan-kawan Tiga Line” pula seperti sengaja diolah untuk menggambarkan Zahid menyebelahi kumpulan ‘Tiga Line’ yang diumumkan sebelum ini sebagai salah satu kumpulan jenayah Melayu. Tajuk itu diangkat walaupun Malaysiakini menyebut beberapa kali dalam berita itu bahawa Zahid berjenaka dan berseloroh ketika bercakap mengenai Tiga Line dalam majlis tersebut.

Malaysiakini turut menemubual bekas wartawan veteran, Peter Kandiah yang dipetik portal itu mendakwa Zahid sebagai “orang gila dan sakit”. Kandiah menyebut bahawa “pada zaman bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad tidak begitu buruk”. Berita tersebut ditulis dengan tajuk “Zahid lebih teruk dari Dr M”.

Begitu juga tajuk-tajuk lain seperti “Apa yang Zahid sembunyikan?”, “Bagaimana Zahid ancam media?” dan “Lagi amaran Zahid pada wartawan” – semuanya menceritakan bagaimana Malaysiakini seolah-olah ‘melancarkan perang’ ke atas Naib Presiden UMNO itu.

Ironinya, senario panas ini bermula selepas insiden Zahid bertindak berang dan memberi amaran kepada seorang wartawan Malaysiakini kerana mendakwa kenyataannya sering diputarbelit oleh portal berkenaan.

Malaysiakini kemudiannya memuatnaik video insiden tersebut yang menampakkan Zahid dengan beremosi menegur wartawan berkenaan dengan kata-kata seperti: “Saya tidak percaya kepada Malaysiakini, anda (wartawan Malaysiakini) boleh tulis itu, saya tak percaya langsung.” dan “You always spin… U bagus tapi U punya boss tak bagus…”

Dalam satu kenyataan selepas itu, pihak pengurusan Malaysiakini meminta Zahid supaya menghentikan cubaan untuk menakut-nakutkan wartawannya. Video itu disebarluaskan dalam laman-laman sosial dan dijadikan modal oleh pemimpin parti pembangkang menghentam Zahid yang didakwa ‘tidak profesional dan berlagak samseng’.

Malaysiakini kemudiannya menyiarkan temubual dengan Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ), Chin Sung Chew yang dipetik portal itu sebagai berkata Zahid perlu menghentikan perbuatan “tidak bertamadun” terhadap wartawan yang bertanya soalan kepadanya.

Peliknya, Malaysiakini begitu sensitif terhadap teguran atau yang disebut portal itu sebagai “amaran” Zahid kepada wartawannya sedangkan satu Malaysia tahu ada pemimpin yang pernah bersikap jauh lebih buruk dengan mencerca wartawan dengan kata-kata kesat, malah sanggup memalukan mereka dengan cara yang sangat tidak bermaruah.

Pemimpin pembangkang termasuk ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup dikenali dengan sifat ‘garang’ jika ada mana-mana wartawan bertanya soalan atau isu yang tidak memihak kepadanya.

Wartawan Malaysiakini sepatutnya bersyukur kerana tidak pernah dibidas dengan cara lebih memalukan seperti dialami wartawan terutamanya dari Utusan Malaysia, TV3 dan Agenda Daily – antara media yang biasanya tidak dialu-alukan pada majlis anjuran pembangkang, malah biasa dihalang terus daripada membuat liputan.

Seorang wartawan Sinar Harian, Salmiah Druhamad Drahsin dalam versi online akbar itu semalam menulis mengenai pengalamannya melihat sendiri wartawan daripada organisasi media berkenaan dicemuh dan disindir oleh pemimpin pembangkang, sehingga satu tahap boleh menjatuhkan air muka mereka.

Salmiah berkata: “Wartawan-wartawan yang sedang mencari rezeki ini digelar ‘kaki pusing’, ‘perkakas UMNO’ dan macam-macam lagi bergantung di mana agensi berita mereka bekerja.

Tambahnya: “Dialog Zahid “you always spin… u bagus tapi u punya boss u tak bagus…” bukanlah dialog janggal atau asing. Bukan penulis tidak pernah mendengar wartawan Utusan Malaysia, TV3 “dikenakan” lebih teruk daripada itu.

Saya percaya, wartawan dan pihak pengurusan Malaysiakini, bahkan Presiden NUJ mengetahui hakikat tersebut. Kalau ungkapan Zahid itu cukup untuk menggelar beliau sebagai tidak profesonal, samseng, orang gila, sakit; bagaimana pulang dengan ungkapan-ungkapan berikut?

“You ulang (tanya) i saman you”
“Dah habis soal? ok now shut up!”
“Kenapa tanya saya? You sudahlah (sambil tolak mikrofon wartawan)
“Siapa bayar you tanya soalan ni?”
“Wartawan apa ini? Ini soalan perkakas UMNO”



Semua ungkapan ini pernah terkeluar dari mulut Anwar Ibrahim kepada pemberita. Malah, rakaman berbentuk video mengenai semua insiden berkenaan berlambak di Youtube. Setiap kali Anwar mengeluarkan ungkapan sedemikian, tidak pula Malaysiakini menjadikannya berita hangat dengan menyiar dan membuat susulan bertalu-talu seperti dalam kes Zahid.

Ketika itu juga, tidak pula Malaysiakini menghubungi dan mendapatkan wartawan veteran untuk memberi komen mengenai kenyataan Anwar yang terang-terang ‘membuli dan memalukan’ wartawan. Ketika itu, pemimpin-pemimpin pembangkang yang kini mengecam Zahid hanya membisu seribu bahasa seolah-olah kecaman Anwar itu tidak ada apa-apa erti.

Ketika itu juga, tidak pula pemimpin NUJ seperti Sung Chew dan rakan-rakannya mengecam Anwar sebagai “pemimpin yang tidak bertamadun” walaupun tindak-tanduk Anwar terhadap wartawan cukup keras seperti seorang diktator.

Kalau Malaysiakini anggap kenyataan Zahid sebagai ugutan, bagaimana pula dengan kenyataan Anwar yang pernah mengatakan kepada wartawan “U ulang (soalan), I saman U”. Adakah itu bukan satu ugutan yang sangat nyata?

Tidak menghairankan jika Malaysiakini terus melancarkan ‘perang’ ke atas Zahid dalam tempoh dua tiga minggu ini, malah mungkin lebih lama daripada itu. Tetapi ia mungkin tidak mendatangkan apa-apa makna, sebaliknya Malaysiakini akan dilihat sebagai entiti media yang mengamalkan hipokrasi.

Ia juga tidak akan memadam, malah akan mengukuhkan lagi tanggapan bahawa Malaysiakini sememangnya adalah ‘perkakas’ pembangkang.

2 comments:

Anonymous said...

Dah takut dah ni taiko tiga line.........padan muke kau Zahid bodoh..........

Hidup Mukhriz, Hisham dan Tok Ali

Anonymous said...

Teruskan usaha anda DSZH, persetankan suara langau-langau yang tak senang duduk dengan cara DS tu...

Post a Comment

Popular Posts