Laporan Ketua Audit Negara : Kerajaan Perlu Bersikap Tegas Kali Ini @NajibRazak

Written By Panglima Harimau on 03 October 2013 | 6:37 PM

Hampir semua media termasuk akhbar dan portal arus perdana menyiarkan pada muka hadapan mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2012. Macam-macam perkara terbongkar. Dari cerita artis K-Pop terima bayaran cecah RM1.6 juta untuk program Hari Belia Negara, pembelian jam bernilai RM100 yang diistihar RM3,810 hinggalah kepada isu kehilangan kelengkapan aset PDRM bernilai jutaan ringgit - semuanya didedah dan dilondehkan.

Seperti biasa, blog-blog turut mengupas laporan ini. Bagi yang pro-pembangkang, ia bagai bola tanggung yang patut dilibas 360 darjah. Ada juga yang terlebih libas sampai menambah-nambah benda yang tak betul. Bagi mereka yang hendak kepastian, boleh lawati sendiri portal rasmi Jabatan Audit Negara

Bagi pegawai dan kakitangan jabatan atau agensi yang tidak terlibat, mereka membaca laporan itu dengan senang hati. Bagi mereka yang 'terkena', hati jadi tidak keruan, jantung berdegup kencang, kepala otak ligat berfikir bagaimana hendak menjawab. Pak-pak menteri berkaitan juga pening kepala. Biasalah, bila rakyat membaca cerita penyelewengan kementerian, jabatan atau agensi tertentu, perkara pertama yang terbayang ialah wajah pak menteri berkenaan.

Cerita-cerita begini pernah didedahkan dalam laporan audit saban tahun, tetapi nampaknya ia terus berlaku. Ia benar-benar memualkan. Kerja bangang segelintir pegawai dan kakitangan awam yang menyeleweng turut memalit lebih 1.4 juta kakitangan awam lain.

Kita minta kerajaan bersikap tegas kali ini. Cukuplah dengan amaran dan kata-kata retorik hendak banteras penyelewengan setiap kali Laporan Audit Negara dikeluarkan. Golongan perosak negara ini mesti dibuang. Benar, Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan kerajaan telus dalam menilai sistem tadbir urus, tetapi ia juga perlu disusuli dengan tindakan pembaikan. Dalam hal ini, saya lebih suka gunakan istilah 'pembersihan' atau 'pemutihan'.

Makna kata, mereka yang buat onar ini perlu disingkirkan terus. Mereka ibarat daun atau dahan berpenyakit yang perlu dicantas, jika tidak ia akan merosakkan tanaman. Mereka ibarat parasit yang jika tidak dibuang akan membawa kemudaratan. Malah, jika terus dibiarkan, mereka boleh menjadi racun yang akhirnya membunuh.

Jangan kita hanya tumpu kepada Menteri dan Timbalan Menteri. Tengok-tengok juga Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah, Pengarah dan pegawai-pegawai yang terdedah dengan segala bentuk penyelewengan, kelemahan dan kecuaian seperti yang didedahkan dalam laporan berkenaan.

Kalau ada ugutan daripada orang-orang ini untuk mereka elak diambil tindakan, kerajaan jangan sesekali berasa gundah atau serba salah. Kalau hendak bertindak, bertindak betul-betul. Jangan apologetik atau hipokrit dalam menegakkan kebenaran. Tindakan mesti drastik dan berkesan.

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts