Syor Karpal: Kenapa Baru Sekarang PAS Nak Marah-Marah?

Written By Panglima Harimau on 08 November 2013 | 2:30 PM

Apabila Karpal Singh keluar dengan idea supaya semua parti berasaskan kaum dan agama di negara ini dihapuskan, berebut-rebutlah pemimpin Pas 'membelasah' Penasihat DAP itu dengan kata-kata penuh amarah.

Rata-rata akhbar dan portal berita sama ada arus perdana atau pro pembangkang, semuanya menjadikan 'kemarahan' pemimpin PAS sebagai tajuk utama bagi membuatkan orang percaya bahawa akan berlaku lagi pertembungan ideologi antara dua sekutu dalam Pakatan Rakyat (PR).

Jika mendasari hubungan parti sekutu PR yang secara rasmi tergabung pada 2008 - tidak lama sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 - pertembungan antara dua parti ini bukanlah sesuatu yang janggal, malah ada yang menyebutnya sebagai sekadar drama politik.

Namun, dalam kebanyakan pertembungan itu, selalunya Pas yang akhirnya 'mengalah' kepada DAP yang dilihat lebih dominan, bukan sahaja dari pengisian kerusi pembangkang di Parlimen, tetapi juga dalam penentuan polisi dan hala tuju PR selama ini.

Kalau tidak, masakan Pas sanggup menggugurkan visi mendirikan negara Islam yang menjadi asas perjuangannya selama lebih lima dekad dan menggantikannya dengan negara berkebajikan, demi menjaga hati DAP - parti yang selalu lantang menegaskan bahawa Malaysia adalah negara sekular.

Pas sanggup bergelut dengan kemarahan akar umbi apabila bersekongkol dengan DAP yang terang-terang mencabar kerajaan supaya membenarkan kalimah Allah digunakan orang bukan Islam di semenanjung, walaupun tindakan itu dikecam hebat pimpinan tertinggi ulama parti itu.

Pas juga sekadar terpaku apabila satu persatu pemimpin DAP lantang campur tangan dalam isu-isu hal ehwal agama Islam termasuklah ketika Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming mendesak supaya lima negeri meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam yang masih memberi kuasa kepada penjaga untuk menentukan agama anak di bawah umur.

Pas juga sekadar menelan liur dan membisu apabila ada pemimpin DAP seperti Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham menyamakan al-Quran dengan kitab Bible.

Pas juga hanya terkedu apabila sekutunya, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sepakat membela, malah berhimpun memperjuangkan golongan Lesbian, Gay, Biseksual, Transeksual (LGBT), tindakan yang dipersoalkan secara keras oleh penyokong akar umbi Pas sehingga hari ini.

Natijahnya jelas terhurai dalam keputusan PRU lalu apabila Pas dilihat gagal menahan dominasi UMNO - satu lagi parti Melayu terbesar - apabila menjadi parti dalam PR yang menang kerusi paling sedikit, malah kehilangan kuasa di Kedah dan dinafikan jawatan Menteri Besar walaupun mendapat kerusi lebih berbanding PKR di Selangor.

Lantas, persoalan timbul. Kenapa apabila Karpal 'menjolok' dengan cadangan supaya parti berasaskan kaum dan agama dihapuskan, pemimpin Pas tiba-tiba melompat marah-marah? Pemimpin yang sebelum ini membisu ketika DAP memperlekeh Islam, tiba-tiba sahaja mahu menjadi pejuang Islam paling sejati?

Umum mengetahui bahawa perebutan jawatan tertinggi Pas bakal diadakan sempena Muktamar Pas pada 22 hingga 24 November ini - pentas yang akan menentukan wajah dan teraju kepimpinan parti itu menjelang PRU-14.

Mahu tidak mahu, pimpinan Pas yang bakal merebut jawatan mahu menjadikan hari-hari terakhir menjelang muktamar sebagai masa terbaik untuk menutup sebaik mungkin segala persepsi buruk mengenai kedudukan Pas yang dianggap paling lemah dan sering 'dibuli' dalam PR.

Jika diimbas ketika kali terakhir muktamar Pas, pimpinan tertinggi parti itu menerima kritikan tajam oleh para perwakilan sehingga ada yang secara terbuka mendesak supaya hubungan Pas-DAP dikaji semula demi mengembalikan peranan parti itu dalam arus politik Islam di Malaysia.

Seperti dijangka, desakan itu sekadar menjadi wacana tajuk berita, ibarat masuk telinga kiri, keluar telingan kanan.

Kita boleh mempercayai bahawa Karpal juga mengetahui bahawa muktamar Pas semakin hampir, ini jugalah masa paling sesuai untuk 'menguji' sensitiviti pimpinan Pas kerana sejak dahulu lagi sikap ragu-ragu dan skeptikal DAP terhadap parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu masih cukup tebal.

Siapa boleh lupa apabila drama Karpal mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti bertaubat, lihatlah betapa mesranya hubungan mereka hari ini. Malah Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu mengetuai barisan peguam membela Anwar dalam kes liwat walaupun beliau adalah satu-satunya pemimpin DAP yang pernah mendakwa mempunyai bukti Penasihat PKR itu terlibat dalam hubungan sejenis.

Maka, bolehlah dianggap perang terbaru antara DAP dan Pas berikutan kenyataan Karpal itu hanyalah satu lagi drama yang akan reda dengan sendirinya apabila muktamar tersebut menutup tirainya 24 November ini.

Persoalannya, adakah para perwakilan Pas yang akan berhimpun pada muktamar 23 November akan termakan dengan drama terbaru ini?

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts