Peranan Raja Mula Dipersoal, Apa Pula Selepas Ini?

Written By Panglima Harimau on 20 January 2014 | 4:38 PM



Sebelum ini, kandungan Perlembagaan yang mengangkat hak dan kepentingan bumiputera sering sahaja dipersoalkan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga diperdebat dan dipersoal. Kita tahu kedudukan Islam dalam Perlembagaan juga sering dipersoalkan oleh puak-puak ini, cuma kali ini mereka lebih lantang, berani dan terbuka. Kali ini, kedudukan Raja dijadikan bahan perdebatan, mesej mereka mudah: Raja tidak hak nak campur tangan dalam urusan orang bukan Islam, Raja hanya boleh jaga hal ehwal Islam; dan lebih penting mereka semahu-mahunya mahu memadam anggapan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Pendek kata, perkara-perkara yang menyentuh kepentingan orang Melayu dan agama Islam mesti ditentang habis-habisan. Cuma hanya satu perkataan dalam Perlembagaan Negara yang sangat digemari oleh puak-puak ini iaitu 'kebebasan'. Bagi mereka, itulah kata kunci yang akan diajdikan modal untuk membuat tuntutan demi tuntutan. Mereka mahu bebas, mereka mahu sama rata, mereka mahu apa yang orang lain dapat, mereka juga mahu dapat. Bagi mereka, faktor sejarah mengenai asal usul tanah Melayu sudah relevan dan tidak penting lagi. Bagi mereka sejarah adalah satu pembohongan. Lihat sahaja bagaimana mereka cuba memanipulasi fakta sejarah untuk memaksa orang percaya bahawa petualang seperti Chin Peng adalah perjuang kemerdekaan negara!

Kalau puak-puak ini mahu bercakap soal istilah 'kebebasan' dalam Perlembagaan, ada beberapa persoalan yang perlu mereka jawab dengan ikhlas. Setidak-tidaknya puak-puak ini perlu berusaha untuk menutup segala keraguan umat Islam terhadap isu-isu kaum dan agama yang timbul sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Persoalan itu antaranya:

Atas artikel mana dalam perlembagaan yang membolehkan puak-puak ini mempersoalkan hak Melayu dan Raja-raja? Petikan mana dalam perlembagaan yang membolehkan puak-puak ini hendak memperlekeh enakmen undang-undang agama di negara ini? Apa hak puak-puak ini untuk mempersenda laungan azan seperti pernah dilakukan orang seperti Namewee? Kebebasan jenis apa yang membolehkan perbuatan menyimbah cat pintu masjid? Kebebasan apa yang membolehkan perbuatan pemimpin seperti Ngeh Koo Ham memperlekeh tindakan umat Islam membela Nabi Muhammad SAW? Kebebasan apa yang beri YB Jeff Ooi gelar orang Melayu sebagai ekstremis agama? Apa hak puak-puak ini hendak melarang umat Islam untuk membuka tudung? Apa hak puak-puak ini untuk mendesak supaya perkataan 'Bin' dan 'Binti' dipadam daripada kad pengenalan? Apa niat peguam puak-puak ini membawa kes ke mahkamah untuk memadam perkataan 'Islam' dalam isu Lina Joy tidak lama dahulu? Apa pula niat YB Nga Kor Ming untuk mendesak supaya kerajaan di lima negeri meminda undang-undang penukaran agama?

Saya sekadar menyebut beberapa perkara dan semua ini tidak berlaku secara kebetulan. Mereka lebih berani kerana mereka tahu, jika mereka buat desakan segarang mana sekalipun, akan ada orang Melayu yang menyokong mereka. Mereka tidak perlu lagi takut-takut untuk mempertahankan hujah mereka kerana akan ada sahaja pemimpin yang sentiasa berdiri teguh di belakang mereka. Malah, pemimpin parti yang mendakwa pejuang Islam pun sentiasa setia bersama mempertahankan agenda mereka. Bagi mereka, semakin kuat sokongan politik terhadap mereka, semakin kuatlah gerakan mereka untuk memperjuangkan apa yang dianggap sebagai 'demokrasi', kebebasan bersuara atau penegak hak asasi.

Saya percaya artikel portal ini menyusul ekoran polemik kalimah Allah. Mereka sudah sampai ke tahap hendak mempersoalkan peranan Yang Di-Pertuan Agong dalam memelihara kesucian agama Islam. Kalau pun Agong tiada hak untuk campur tangan dalam soal hal ehwal bukan Islam, siapa puak-puak ini untuk mempersoalkan hak Agong sebagai ketua agama Islam untuk menghalang cubaan untuk menyerang akidah umat Islam? Kalau dibaca laporan atau teks ucapan Agong, baginda hanya menekankan supaya semua pihak menghormati ketetapan yang dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai isu penggunaan kalimah Allah. Titah baginda adalah demi memelihara perpaduan dan keharmonian kaum selama ini. Salahkah?

Di tengah-tengah isu pengkaderan agama kepada umat Islam pihak tertentu, adakah puak-puak ini berharap Agong dan Majlis Fatwa Kebangsaan hanya memeluk tubuh tanpa berbuat apa-apa? Perlu diingat, larangan penggunaan kalimah Allah diputuskan oleh mahkamah dan ia juga selaras dengan enakmen undang-undang negeri, adakah puak-puak ini hendak beritahu mahkamah juga sudah tiada hak dalam membuat keputusan?

Kepada kerajaan,adakah memadai untuk sedakar memberi amaran demi amaran? Kalau dahulu, akta ISA sudah pasti digunakan untuk menutup dan mencatas gerakan-gerakan jahat sebegini. Tapi ISA sudah tiada selepas desakan puak-puak ini untuk menghapuskannya sudah berjaya. Setidak-tidaknya negara masih ada Akta Hasutan - akta yang juga cuba dihapuskan oleh puak-puak ini tapi masih belum berjaya. Mereka menyerang Perlembagaan, mereka menyerang institusi agama, mereka menyerang intitusi kehakiman, mereka menyerang kepercayaan agama, mereka menyerang badan penguatkuasa undang-undang dan kali ini mereka lebih agresif mahu menyerang dan mempersoalkan kedudukan Raja.

Sampai bila?

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts