Subsidi Minyak Ditarik, Hukum Pengorbanan! @NajibRazak @ahmadmaslan

Written By Panglima Harimau on 05 October 2014 | 12:41 PM

RAMAI yang marah-marah apabila kerajaan mengumumkan pengurangan 20 sen subsidi minyak petrol dan diesel kelmarin. Biar apa pun penjelasan yang diberikan di sebalik pengurangan subsidi minyak itu - rata-rata tidak tertarik mendengarnya kerana merasakan ia tidak ada kena-mengena dengan mereka. Apa yang mereka tahu ialah harga minyak naik 20 sen.

BUKAN tidak faham tetapi ramai yang enggan memahaminya kerana apa yang mereka tahu, mereka perlu membayar lebih daripada sebelumnya. Kenapa sekarang? Tidak tahukah orang hendak menyambut raya dua tiga hari lagi? Habislah...tidak ada harapan pilihan raya umum (PRU) akan datang! Itu kata mereka.

NAMPAKNYA Kerajaan Barisan Nasional (BN) nekad untuk membuat keputusan yang tidak popular! Namun itulah keputusan yang perlu diambil untuk memperbetukan ketidakadilan yang berlaku. Memang sukar untuk membuat keputusan yang tidak popular, tetapi bagi kerajaan, ia tidak boleh ditangguhkan lagi.

RAKYAT Malaysia tidak kira yang kaya atau miskin; semua mendapat manfaat langsung daripada subsidi minyak. Pada 12.01 tengah malam Khamis lalu, berderetan kenderaan mengisi minyak. Walhal ada antaranya kereta mewah yang harga sebiji tayarnya pun tidak kurang daripada sekali bayaran BR1M!

SEDANGKAN kelompok pemilik kereta mewah dan kenderaan dengan kuasa CC lebih besar inilah penerima terbanyak subsidi minyak RM2 bilion sebulan yang ditanggung oleh kerajaan. Rakyat yang berpendapatan rendah di kampung dan pinggir-pinggir bandar hanya menikmati sedikit sahaja daripada nikmat subsidi tersebut kerana rata-rata mereka menggunakan motosikal dan kereta kecil - Kancil, Viva atau Saga.

SEKARANG kerajaan berhenti menanggung kos minyak pemilik-pemilik kereta mewah dan berkuasa CC besar ini; sebaliknya mengagih-agihkan subsidi yang banyak itu kepada rakyat yang betul-betul layak. Secara lebih bersasar dan tepat. Tetapi apa yang diharapkan, penjimatan subsidi ini tidak meminggirkan manfaat untuk golongan berpendapatan sederhana terutama yang tinggal di bandar-bandar. Mereka pembayar cukai yang setia dan mereka juga tidak layak menerima banyak bantuan kerajaan termasuk BR1M.

MEREKA ini jika dikira potongan gaji setiap bulan, dengan sewa rumah, api air dan tol - pendapatan bersih yang diterima mungkin lebih kecil daripada penerima BR1M. Kerana kelompok ini tidak layak menerima BR1M, kerajaan perlu memikirkan insentif lain buat mereka antaranya pengecualian cukai pendapatan yang lebih besar atau faedah-faedah lain.

PEMBENTANGAN Bajet 2015 pada 10 Oktober ini sudah pasti ditunggu-tunggu. Benar kerajaan menanggung subsidi tepung, gas memasak, beras ST15 dan minyak masak. Tapi nikmatnya kurang dirasai rakyat akibat tindakan tidak bertanggungjawab pembekal, pemborong dan peniaga menaikkan harga barang untuk mengaut keuntungan atas alasan bagi menyerap kenaikan harga minyak.

JUSTERU penguatkuasaan dan pemantauan perlu dipertingkatkan. Rakyat terbanyak tentu sahaja tidak lagi marah-marah dan dapat menerima secara rasional langkah-langkah penjimatan melalui pengurangan subsidi yang diperkenalkan kerajaan apabila mereka benar-benar dapat merasai nikmatnya.

PERSOALAN yang bermain di benak ialah mengapa terlalu bebas mereka di negara ini? Di mana perginya penguatkuasaan kita? Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta beberapa agensi yang terlibat. Bukan bertindak secara berkala atau setelah menerima aduan atau selepas dicuit. Biarlah aktiviti ini hangat sepanjang masa dan bukan sekadar hangat-hangat najis ayam. Apa yang pasti mereka ini adalah perompak rakyat yang sudah mengenal pasti kelemahan dan ketirisan kita; selaku pengguna.

SELAMAT HARI RAYA KORBAN.
'Labaik Allahumma Labaaik'

2 comments:

Anonymous said...

Pejawat Awam Makan Rasuah Banyak2.. Tak Buat Penguatkuasaan pada Penyeludup Cina..

Penjawat Awam HANYA menguatkuasakan undang2 pada MELAYU sajer

Anonymous said...

Bagi balik pada Britishlah! Dah tak mampu nak tadbir, bagi aje balik! Alvin pun depa tak mampu nak tangkap sampai boleh bersukaria di US dengan betina lain!

Post a Comment

Popular Posts