Keris Dan Bulan

Written By Panglima Harimau on 21 March 2015 | 10:44 AM


31 ADUN Pas dan 12 ADUN BN di Kelantan telah sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), tetapi ada pula Melayu yang resah gelisah. Mereka menentang kesepakatan tersebut dengan pelbagai alasan termasuklah politik.

ADA orang Melayu yang bimbang tidak tentu pasal apabila kedua-dua parti bersatu suara bagi melaksanakan hukum Allah tersebut. Yang bukan Melayu pula menentang habis-habisan rang undang-undang itu. Biarpun jelas undang-undang itu hanya melibatkan orang Islam dan perlu dibawa ke sidang Dewan Rakyat untuk kelulusan pelaksanaannya di Kelantan.

KELOMPOK ini sengaja buat tidak faham. Ada yang menghukum Pas dan ada pula yang mahu mengancam keluar dari BN. Jelas sekali, mereka tidak boleh menerima hakikat dua parti orang Melayu itu boleh mencapai kesepakatan. Selama ini, mereka melihat perbalahan politik antara UMNO dan Pas adalah rahmat untuk mereka.

APABILA kedua-dua parti itu boleh duduk semeja dan bekerjasama; kepada mereka ini ibarat petaka politik. Apakah orang Melayu melalui UMNO dan Pas tidak boleh bersatu dan sepakat dalam perkara berkaitan agama Islam? Mereka mahu kedua-dua parti ini terus berbalah yang akhirnya akan memberi keuntungan politik kepada pihak lain!

ANEH apabila kerjasama antara UMNO dan Pas dalam soal hukum hudud dilihat satu masalah. Tetapi apabila kaum lain yang berbeza fahaman bersatu bagi memperjuangkan kepentingan mereka, tiada pula yang mahu menentang. Itu hak mereka untuk bersatu; maka umat Islam dan bangsa Melayu juga mempunyai hak untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam.

BERSETUJU dalam pelaksanaan hukum hudud bukanlah bererti UMNO dan Pas akan bergabung menjadi kuasa politik. UMNO menyokong hukum hudud bukan atas dasar politik tetapi demi melaksanakan perintah Allah. Kalau undang-undang itu diluluskan di peringkat Parlimen maka ia akan berkuat kuasa di Kelantan dan hanya melibatkan orang Islam sahaja. Oleh itu kenapa pihak-pihak lain mahu membantah?

SELAGI kita yang mengaku diri kita orang Melayu dan beragama Islam, kita sepatutnya melafazkan seribu kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana menyatukan pemimpin kedua-dua parti tersebut. Biarlah hukum hudud ini menjadi permulaan bagi merealisasikan impian kita.

ORANG MELAYU MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts